suria

Tujuh Lelaki Ditahan Kerana Judi Sabung Ayam

TAIPING: Tujuh lelaki termasuk remaja 15 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan judi sabung ayam di Kampung Air Kuning, Changkat Jering, di sini petang Sabtu.

Kesemua mereka berumur antara 15 dan 58 tahun diserbu sepasukan Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping ketika sedang leka bermain judi di tepi sebuah rumah di kampung itu, pada 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata semasa serbuan dilakukan terdapat sekumpulan orang sedang mengerumuni gelanggang di situ.

"Ketika serbuan ada di antara mereka melarikan diri. Bagaimanapun, polis berjaya menahan tujuh lelaki iaitu tiga Melayu dan empat Cina.

"Dalam serbuan itu polis merampas satu kain hitam yang dijadikan gelanggang, lapan besi, tujuh batang besi taji di kaki tujuh ayam sabung dan wang tunai bernilai RM155 yang ditinggalkan di situ," katanya dalam kenyataan.

Harrith Kam berkata kesemua mereka direman bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti penganjurnya dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka.

Taiping

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain