suria

Jenazah Pelajar Perubatan Uthaya Kumar Tiba Di KLIA

SEPANG: Jenazah pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di India, S. Uthaya Kumar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.30 pagi Ahad.

Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu yang dibawa pulang dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH193 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bengaluru, disambut bapa saudaranya K. Dheivethiven, 54, di KLIA.

Katanya jenazah terus dibawa ke rumah ibu bapanya di Bandar Baru Selayang, Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Krematorium Cheras bagi upacara sembahyang dan pembakaran.

Dheivethiven berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Uthaya Kumar pada September tahun lepas ketika mendiang pulang ke Malaysia untuk bercuti.

"Ketika itu dia beritahu saya bahawa dia akan habis belajar di India pada bulan Mac ini dan akan menyambung pengajian di Melaka," katanya.

Dheivethiven berkata beliau tidak menyangka pelajar cemerlang itu yang disenangi oleh semua yang mengenalinya, pergi terlalu awal.

Uthaya Kumar, 23, yang merupakan pelajar tahun ketiga di Kolej Perubatan Melaka-Manipal (MMMC) terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Chitradurga, Karnakata pada 27 Jan lepas ketika membonceng motosikal bersama seorang pelajar tempatan.

Mendiang dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke sebuah hospital di Chitradurga, kira-kira 250 kilometer dari Bangalore, Karnataka.

S Uthaya Kumar

Artikel Lain