suria

Tiada Penolakan Dibuat Oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Jemaah Pemangku Sultan Kedah tidak menolak cadangan berhubung pengganti Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai menteri besar negeri itu.

Menurut Najib, beliau telah mengadap pengerusi jemaah itu pada pagi Jumaat dan pertemuan tersebut berjalan lancar.

"Saya telah mengadap Pengerusi Jemaah Diraja pagi tadi dan saya telah sembah maklum akan beberapa cadangan atas nama Umno.

"Perkembangan selanjutnya akan diumumkan...," kata presiden Umno itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti itu di PWTC di sini petang Jumaat.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Penerangan yang baru, Tan Sri Annuar Musa.

Presiden Umno itu berkata, tiada sebarang penolakan dibuat semasa pertemuan diadakan seperti yang didakwa dalam beberapa laporan sebelum ini.

"Tak betul...tak betul. Nanti saya maklumkan...tak ada penolakan dan majlis pertemuan itu berjalan dengan baik," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, beliau menjawab: "Nanti kita beritahulah..."

Dalam pada itu Najib turut mengakui mengetahui lebih awal mengenai kemelut kepimpinan di Kedah.

"Kita dengar ada masalah tapi ini diputuskan oleh 14 ketua bahagian. Sebagai presiden parti, saya kena ambil maklum dan beri pertimbangan," katanya lagi.

Krisis politik di Kedah bermula apabila 14 ketua bahagian diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku menteri besar.

Mereka menuntut pucuk pimpinan parti mengambil tindakan dengan membuat perubahan kepada kerusi menteri besar.

Kedah, Umno

Artikel Lain