suria

Dana RM2.6b: Peguam Negara Didakwa Salah Guna Kuasa

Khairuddin Abu Hassan

PETALING JAYA: Tan Sri Mohamed Apandi Ali didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara ketika meneliti kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes derma politik bernilai RM2.6 bilion dan SRC International.

Susulan itu, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis bagi menggesa supaya siasatan dibuat ke atas Peguam Negara kerana dikhuatiri terlibat dengan kecuaian jenayah berkaitan kes yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya memohon pihak polis menyiasat Peguam Negara sama ada terdapat sebarang unsur salahguna kuasa, cuai jenayah, memutar belit fakta dan mengganggu penjawat awam daripada menjalankan tugas mahupun siasatan mereka secara telus, bebas serta komprehensif," kata Khairuddin menerusi kenyataan di Facebooknya pada Rabu.

Menerusi posting berkenaan Khairuddin turut memuat naik salinan laporan polis yang dibuat pada tengah hari Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara.

Salinan laporan polis yang dimuat naik Khairuddin di Facebooknya.

Pada Selasa, Mohamed Apandi mengumumkan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Menurut Mohamed Apandi, ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes berkenaan akan dikembalikan kepada SPRM dengan arahan supaya ia ditutup.

Selain itu, Khairuddin menuntut Peguam Negara supaya mendedahkan hasil siasatan SPRM berhubung isu berkenaan.

"Peguam Negara harus memberi penerangan secara komprehensif kepada rakyat khususnya di dalam menzahirkan semua asas butiran siasatan yang telah dijalankan oleh pihak SPRM.

"Jawapan yang komprehensif dari Peguam Negara penting demi menjamin keutuhan imej serta kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada pandangan rakyat secara menyeluruh," katanya.

Artikel Sebelum

"Saya Dah Jangka" - Tun M

Artikel Lain