suria

TPPA Lebih Demokratik Berbanding PBB, IMF, Bank Dunia - Mustapa

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) lebih demokratik memandangkan segala keputusan akan dibuat secara bersama dan konsensus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata menerusi perjanjian perdagangan ini, Suruhanjaya TPPA bakal ditubuhkan, dan tidak ada satu negara pun memiliki kuasa veto, dan ini berbeza dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia.

"Beberapa negara dalam PBB diberikan kuasa veto, manakala dalam TPPA keputusan dibuat secara bersama atau konsensus manakal IMF dan Bank Dunia,  memberikan lebih kuasa kepada negara besar berbanding negara kecil.

"Justeru, TPPA adalah satu perjanjian yang lebih adil dan demokratik berbanding PBB, IMF dan World Bank," katanya semasa membentangkan usul TPPA pada sidang khas Dewan Rakyat, Selasa.

Mustapa menegaskan penyertaan dalam TPPA akan meningkatkan rangkaian perdagangan negara, termasuk dengan negara yang belum ada perjanjian perdagangan bebas seperti Amerika Syarikat, Mexico, Peru dan Kanada.

Beliau berkata kelebihan TPPA kepada Malaysia termasuk duti ke atas 99.8 peratus produk elektrik dan elektronik (E and E) akan dimansuhkan serta-merta, berbanding purata 5.0 peratus duti ke atas barangan E and E Malaysia untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat pada masa ini.

"Pemansuhan duti ini akan memberi faedah kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan pelaburan, dan menerusi pelaburan tambahan ini kita menjangkakan peluang pekerjaan serta eksport juga akan bertambah," katanya.

Antara negara lain yang terlibat dalam perundingan TPPA ialah Australia, Brunei, Chile, Jepun, New Zealand, Singapura dan Vietnam.

Mustapa berkata walaupun Amerika Syarikat menyumbang 20 peratus kepada pengeluaran dunia dan merupakan negara terbesar dalam TPPA, prinsip yang digunakan di sepanjang rundingan TPPA ialah 'Tiada apa yang dipersetujui sehingga semuanya dipersetujui'. 

Mustapa menegaskan bahawa Malaysia menyertai TPPA atas kerelaan, tanpa dipaksa, dan boleh keluar sekiranya pakatan perdagangan itu membawa kemudaratan kepada negara, tanpa disaman atau menjadi sebuah negara muflis.-- Bernama

TPPA, PBB, IMF

Artikel Lain