suria

Krisis Politik: Jemaah Pemangku Sultan Kedah Berkecuali

ALOR SETAR: Jemaah Pemangku Sultan Kedah menegaskan anggota jemaah itu berkecuali dalam krisis politik di negeri ini dan menasihatkan pihak yang terlibat mencari jalan menyelesaikannya.

Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah dalam satu kenyataan di sini berkata, Jemaah Pemangku Sultan mahu semua pihak yang terlibat supaya menggunakan saluran sedia ada untuk menyelesaikan sebarang ketidakpuasan atau masalah yang mungkin ada.

Katanya, Jemaah Pemangku Sultan meminta semua pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian secara berhemah dan tidak melibatkan rakyat yang ketika ini memerlukan perhatian dan pimpinan daripada kesemua pemimpin.

"Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengambil maklum tentang berita pergolakan politik yang sedang berlaku di Kedah dan menegaskan bahawa ahli jemaah berkecuali daripada menyokong atau memihak mana-mana golongan atau pihak," katanya.

Syed Unan Mashri berkata Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut mahu semua pihak bertenang dan bersabar dalam menghadapi krisis politik tersebut. 

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak beberapa hari lepas apabila Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerima tekanan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.-- Bernama


Artikel Lain