suria

Pengawal Peribadi, Peniaga Pasar Malam Didakwa Menyamar Polis Trafik

KUALA LUMPUR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan menjalankan tugas mengiringi kenderaan, awal bulan ini.

Rahiman Ghazali, 39, seorang pengawal peribadi dan Zainul Rizal Zaini, 39, peniaga pasar malam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

Kedua-dua tertuduh didakwa telah menyamar sebagai anggota polis, berpakaian dan menggunakan motosikal jenis Honda CBX750 menyerupai anggota polis trafik dan menjalankan tugas mengiring di Jalan Raja Chulan menghala ke Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 7 petang, 5 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Md Ridzuan Othman yang mewakili Rahiman memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu mengambil kira tertuduh merupakan penanggung utama bagi isteri, dua anak dan ibu bapanya yang mempunyai penyakit.

Peguam Yusman Che Aman yang mewakili Zainul Rizal juga memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 dan menyara isteri yang tidak bekerja, dua anak dan ibunya.

Majistret Mohd Rehan membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Feb ini untuk sebutan semula kes. --Bernama 






Artikel Lain