suria

BNM Pantau Institusi Kewangan, Bukan Bank

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan pemantauan terhadap institusi kewangan bukan bank utama yang mempunyai kesalinghubungan yang penting dengan sistem kewangan sebagai sebahagian daripada mandatnya untuk menggalakkan kestabilan kewangan.

Langkah ini disokong oleh Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan kewangan yang dibentuk di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang dipengerusikan oleh Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan ahli-ahlinya termasuklah ketua Setiausaha Kementerian kewangan dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kata bank pusat dalam satu kenyataan.

"Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh bank pusat, BNM dan FSEC dari semasa ke semasa akan memberikan nasihat kepada institusi kewangan bukan bank utama sebagai langkah awalan untuk memastikan kedudukan kewangan institusi berkenaan kekal kukuh dan bagi mengelakkan sebarang implikasi sistemik ke atas sistem kewangan negara," kata BNM.

Berhubung dengan Lembaga Tabung Haji, bank pusat berkata, institusi itu telah secara proaktif mengambil langkah-langkah wajar untuk terus memantapkan amalan pengurusan risikonya atas inisiatif sendiri dan susulan perbincangan dengan BNM sebelum ini. 

Langkah-langkah ini akan memperkukuhkan kedudukan kewangan institusi ini pada masa hadapan, kata bank pusat. 

"Meskipun Lembaga Tabung Haji bukan merupakan institusi di bawah pemantauan langsung BNM, nasihat yang diberikan oleh bank pusat kepada institusi-institusi kewangan bukan bank bertujuan untuk memastikan institusi tersebut akan terus diurus dengan baik dan dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan selaras dengan tujuan penubuhan institusi berkenaan. 

"Ini seterusnya dapat menyumbang kepada kestabilan kewangan," kata BNM.  -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Lain