suria

Lebih 5,000 Peserta Akan Sertai Gotong Royong Perdana Cegah Denggi

HULU TERENGGANU: Lebih 5,000 orang dijangka menyertai Program Gotong Royong Perdana Membasmi Denggi Peringkat Negeri Terengganu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis ini di seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat berkata daripada jumlah berkenaan, 3,000 peserta dari Skuad Sukarelawan Bencana yang terdiri daripada golongan belia akan dikerah dan lebih 2,000 peserta lagi dari agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Skuad sukarelawan, agensi kerajaan serta NGO ini akan ditempatkan di 29 lokaliti wabak denggi yang mana mereka akan membantu masyarakat setempat untuk bersama-sama membersih kawasan untuk membasmi denggi.

"Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan kawasan yang paling terjejas dikenal pasti ialah daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Gotong Royong Basmi Denggi di Hulu Terengganu, Selasa.

Rozi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan turut menyediakan kelengkapan termasuk keperluan jentera untuk kegunaan sepanjang gotong royong itu.

"Sukarelawan bencana ini juga akan ditempatkan di kampung-kampung dan ada antara mereka yang akan berkhemah dan ditempatkan di kem pengakap negeri bagi memastikan program gotong royong tersebut berjalan lancar.

Sehingga kini sebanyak 522 kes demam denggi dicatatkan di Terengganu dengan lima kematian sejak 1 Jan lalu dan berlaku penambahan kes sebanyak 30 kes sehari...kita tak nak perkara ini terus berlaku, jadi kita kena sama-sama berganding bahu untuk membanteras denggi ini," katanya.-- Bernama



Artikel Lain