suria

Perbincangan Dengan Najib 'Agak Positif' - Adenan

Tan Sri Adenan Satem
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada Khamis berkata beliau mengadakan perbincangan yang 'agak positif' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Rabu mengenai penurunan kuasa kepada negeri ini.

Katanya beliau membangkitkan 13 perkara berhubung peruntukan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri.

"Ini fasa pertama, iaitu mengenai hal-hal pentadbiran. Ada dua fasa lagi yang akan diadakan selepas ini," katanya pada sidang media yang dibanjiri wartawan di pejabatnya di sini Khamis.

Menurut beliau, fasa kedua akan berkisar mengenai hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri) dan mengenai hal berkaitan perlembagaan, manakala fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas negeri ini, kesahan Akta Perairan Wilayah dan Akta Pembangunan Petroleum.

Adenan berkata beliau memerlukan lebih banyak masa untuk berunding mengenai dua fasa lagi.


"Sebab itulah saya minta lima tahun lagi daripada rakyat Sarawak untuk mentadbir negeri ini. Mandat yang lebih kuat pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang akan memberi kepada saya kedudkan lebih kuat untuk berbincang dan berunding," katanya.

Adenan berkata DAP mungkin ingin menuntut penghargaan kerana memulakan dan membangkitkan perkara ini.

"Tapi, biarlah saya katakan secara terus terang, sayalah orang pertama yang menimbulkan semua perkara mengenai autonomi kita pada 16 Mac 2014 dalam temu bual dengan akhbar The Star. Ia dua minggu selepas saya dilantik sebagai ketua menteri," katanya.

Beliau berkata apa yang dikatakan sebagai Deklarasi Bintulu DAP, yang didakwa parti itu, merekalah yang mula-mula sekali membangkitkan perkara itu, sebenarnya bertarikh 26 Oktober 2014.

"Nasihat saya kepada Chong Chieng Jen, pengerusi DAP negeri, usahlah menuntut penghargaan daripada sesuatu yang tidak beliau lakukan," katanya.

Adenan berkata, 13 perkara pertama itu akan berkuat kuasa apabila tiba waktu sepatutnya dan bukan dengan serta-merta.

Merujuk kepada tuduhan Chong bahawa beliau tidak berjaya sepenuhnya dalam rundingan itu, Adenan berkata beliau (Chong) perlu bersabar menunggu dua lagi peringkat rundingan.

"Kalau DAP hendak berunding, mungkin kerajaan persekutuan tidak akan membuka pintu langsung," kata beliau.

Adenan menegaskan sekali lagi bahawa hubungan antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan perlu berasakan kepada perlembagaan.

"Hubungan antara Sarawak dengan Kuala Lumpur berbeza daripada antara Kuala Lumpur dengan, katakanlah, Pahang.

"Mengikut Perjanjian Malaysia, kita sebuah negeri autonomi. Kita tidak menyertai Malaysia. Kita adalah rakan yang setara dalam pembentukan Malaysia.
Sebelum Perjanjian Malaysia, belum ada lagi Malaysia untuk disertai," kata Adenan.

Beliau berkata sesetengah pihak berpendapat Sarawak bukan rakan setara, tetapi katanya, "secara umumnya, kita setara".

Beliau berkata Sarawak perlu bertegas tentang kedudukan autonominya sepanjang masa, tetapi ia bergantung sekuat mana ia menekankan tentang haknya.

Artikel Lain