suria

Bekas Penuntut Universiti Dipenjara Dua Tahun Cuba Sokong IS

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penuntut universiti awam di Perlis dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah kerana cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Islamic State (IS), atau dikenali militan Daesh.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 24, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Disember 2014.

Wan Mohammad Arif didakwa cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara mengambil penerbangan Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki, untuk menjadi anggota kumpulan itu. 

Penuntut jurusan kejuruteraan marin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan pintu C15, Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA pada kira-kira pukul 10.15 malam, 28 Disember 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun sama yang membawa hukuman penjarakan seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, pada Oktober 2014, Wan Mohammad Arif telah menyatakan hasrat menyertai kumpulan IS atau Daesh untuk berjihad dan mati syahid kepada abang, bekas tunangnya dan rakannya namun mereka tidak bersetuju dan menasihatkan tertuduh supaya berubah.

Tertuduh yang tidak mengendahkan nasihat itu kemudian menghubungi beberapa kenalan Facebook bagi meminta bantuan mereka dalam usaha memudahkannya untuk berhijrah ke Syria.

Pada hari kejadian, semasa berada di KLIA, tertuduh memaklumkan kepada bekas tunangnya bahawa dia telah mendapat tiket penerbangan untuk ke Turki pada pukul 11.30 malam hari sama, sebelum wanita itu bertindak menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapa tertuduh bagi memaklumkan perkara itu.

Bapa tertuduh kemudian meminta bantuan anggota keluarga yang lain supaya mencari tertuduh di KLIA, namun gagal menemuinya sebelum satu laporan polis dibuat sehingga tertangkapnya tertuduh yang ketika itu berada di balai pelepasan.

Terdahulu, Azman dalam penghakimannya berkata tindakan Wan Mohammad Arif  untuk ke Syria dan mengajak rakannya di kampus merupakan satu fenomena yang sangat berbahaya bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada orang ramai.

Katanya, tertuduh telah meninggalkan pengajiannya yang ketika itu di tahun  ketiga selain mengabaikan ibu bapa dan keluarga apabila bertindak pergi ke negara yang berbeza dengan keadaan kacau-bilau dan huru-hara.

"Saya bukan nak berceramah agama kepada kamu tetapi dengan memberi sumbangan kepada ibu bapa, pahalanya juga besar selain membawa keberkatan dalam diri kita dan bukannya meninggalkan ibu bapa untuk pergi ke negara huru-hara itu," kata hakim itu yang sempat menasihati supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan pada masa hadapan.-- Bernama



Artikel Lain