suria

STAM 2015: GPN, Jumlah Pelajar Cemerlang Meningkat

Pelajar Maahad Johor ceria ketika mengambil keputusan STAM 2015 di Maahad Johor, Khamis.

KUALA LUMPUR: Pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015 di seluruh negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan terutama dari sudut Gred Purata Nasional (GPN) dan bilangan pelajar mendapat keputusan Mumtaz (cemerlang).

Di SELANGOR, GPN peperiksaan STAM 2015 meningkat 0.11 mata iaitu 2.33 berbanding 2.44 pada 2014, kata Pengarah Pelajaran Negeri Zainureen Mohd Noor.

Beliau berkata 89 calon memperoleh keputusan Mumtaz, 236 Jayyid Jiddan (sangat baik), 149 Jayyid (baik) dan 21 calon Maqbul (lulus) daripada 526 pelajar yang menduduki peperiksaan itu.

Di PAHANG, seramai 663 pelajar atau 81.55 peratus mendapat sekurang-kurangnya pangkat Maqbul untuk 10 mata pelajaran yang diambil daripada keseluruhan 813 calon.

Keputusan itu meningkat 6.41 peratus atau 119 calon berbanding 2014 dengan 544 pelajar atau 75.14 peratus lulus semua mata pelajaran daripada 720 yang menduduki peperiksaan.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Pahang Mohd Razali Mustafar berkata calon yang memperoleh sijil peringkat Mumtaz pada 2015 menunjukkan peningkatan kepada 68 orang atau 8.36 peratus berbanding 49 orang atau 6.81 peratus pada 2014.

Di NEGERI SEMBILAN, 24 calon mendapat sijil pangkat Mumtaz.

Pengarah Pendidikan Negeri Rusni Ab. Jalil berkata daripada 24 orang calon itu, empat orang calon mendapat 10A+ (strait A) bagi semua 10 mata pelajaran yang diduduki.

Di SARAWAK, 11 daripada 27 calon peperiksaan STAM layak memperoleh sijil STAM.

Pengarah Pendidikan negeri, Rakayah Madon berkata 27 calon berkenaan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud di Sadong Jaya.

"Daripada 11 pelajar yang layak mendapat sijil itu, lapan calon memperoleh Jayyid dan tiga calon mendapat Maqbul," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Di PULAU PINANG, seramai 115 atau 50.22 peratus daripada 229 pelajar mendapat sekurang-kurangnya pangkat Maqbul untuk 10 mata pelajaran, dengan  tujuh calon mendapat sijil pangkat Mumtaz.

"Seramai 32 orang calon pula mendapat sijil pangkat Jayyid Jiddan, 56 orang  calon mendapat sijil pangkat Jayyid dan 20 orang mendapat sijil pangkat Maqbul," kata Pengarah Pendidikan Negeri Shaari Osman. 

Di PERLIS, negeri itu mencatat 63.2 peratus kelulusan dalam peperiksaan STAM 2015 iaitu penurunan sebanyak 3.75 peratus berbanding tahun 2014 iaitu 66.95 peratus.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Perlis, Rusli Md Zain berkata pencapaian GPN meningkat sebanyak 0.05 peratus kepada 3.18 peratus berbanding 3.23 peratus pada 2014.

Seramai tiga calon memperoleh keputusan keseluruhan Mumtaz, 16 pangkat Jayyid Jidan, 22 pangkat Jayyid dan 14 Maqbul di semua sekolah swasta dan kerajaan di negeri itu, katanya.


STAM, GPN, Mumtaz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain