suria

Netizen Mahu Angie Dijaga Keluarga Angkat

Angie diletakkan dibawah jagaan JKM buat sementara waktu.

PETALING JAYA: Masa depan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Angie Tiong yang didakwa dijual bapanya kepada pasangan suami isteri warga Singapura, hangat diperkatakan di laman media sosial.

Kebanyakan netizen mahu kanak-kanak itu diletakkan dibawah jagaan keluarga angkatnya.

Dalam satu tinjauan dalam talian oleh The Star yang bertanya kepada pembaca apa yang mereka fikirkan terbaik untuk kanak-kanak itu, 77 peratus daripada 115 peserta yang menyertai tinjauan itu berkata jalan terbaik bagi Angie adalah untuk dia bersama dengan ibu bapa angkatnya di Singapura.

Hanya 18 undi menyokong idea mengembalikan Angie kepada saudara mara terdekatnya di Malaysia.

Cadangan membenarkan kanak-kanak itu kekal dibawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya mendapat enam undi dan tiga undi mahukannya dikembalikan ke pangkuan keluarganya.

Rakyat Malaysia turut berkongsi pendapat mereka mengenai masa depan Angie di laman Facebook The Star Online.

Sama seperti undian dalam talian, rata-rata netizen yakin masa depan Angie akan lebih terjamin jika dia dijaga oleh keluarga angkatnya.

"Dia tidak boleh membuat pilihan tetapi dia layak mendapat keluarga yang baik," kata Chin Yok Har.

Seorang lagi pengguna Facebook, Jason Khaw mencadangkan Angie patut diletakkan dibawah jagaan penjaga bertanggungjawab dan berkata pasangan suami isteri dari Singapura adalah 'taruhan terbaik' untuk kanak-kanak itu.

"Kami tidak mahu isu ini berlarutan dan akhirnya menjejaskan perkembangan kanak-kanak perempuan itu," katanya.

Amreeta Kaur turut bersetuju Angie harus diberikan hak untuk menikmati kehidupannya bersama pasangan suami isteri dari Singapura itu.

Namun, dia turut menggesa pemeriksaan latar belakang mereka secara menyeluruh dilakukan untuk memastikan pasangan itu boleh memberikan kasih sayang dan menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada Angie.


Angie Tiong, JKM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain