Bauksit: SPRM Tahan Empat Pegawai Pejabat Tanah, Wang Tunai Ditemui Dalam Mesin Basuh - Semasa | mStar

Bauksit: SPRM Tahan Empat Pegawai Pejabat Tanah, Wang Tunai Ditemui Dalam Mesin Basuh

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang termasuk seorang pegawai kanan, kerana disyaki menerima rasuah bernilai lebih RM100,000 daripada pelombong bauksit tidak berlesen di negeri ini.


Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azmi Baki berkata semua suspek berusia antara 30 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar Kuantan, antara pukul 6 petang dan 9 malam semalam, hasil siasatan selama lebih dua bulan setengah.

"Kami turut menjumpai wang tunai dalam jumlah yang banyak di rumah mereka, termasuk di dalam mesin basuh di rumah pegawai kanan terbabit, yang dipercayai duit hasil aktiviti rasuah itu," katanya pada sidang media di Kompleks SPRM di sini, Khamis.

Beliau berkata suspek memberikan perlindungan kepada aktiviti perlombongan bauskit secara haram dengan menggunakan modus operandi menjual Borang 13D, iaitu Dokumen Pemindahan Bijih Mineral yang dikeluarkan oleh PTG kepada pelombong bauksit bagi tujuan peengangkutan bahan mineral itu.

Borang itu yang hanya sah untuk satu trip perjalanan, akan dibawa dan dikemukakan oleh pemandu lori semasa mengangkut bauksit dari tempat simpanan ke pelabuhan dan perlu ditunjukkan jika lori ditahan agensi penguatkuasaaan, serta perlu dicop di pelabuhan bagi tujuan pengiraan termasuk untuk pembayaran royalti, tambah beliau.


"Borang berkenaan yang dikenali sebagai docket dalam kalangan penduduk tempatan sebenarnya berharga RM1, namun dijual kepada pelombong haram pada harga antara RM150 hingga RM200," katanya.

Azmi berkata serbuan yang dilakukan turut menjumpai borang berkenaan dalam kuantiti yang banyak dalam simpanan semua suspek, yang kini ditahan reman sehingga 14 Januari ini.

Siasatan dijalankan atas kesalahan menerima rasuah mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.


Katanya SPRM mula menerima maklumat berkaitan isu perlombongan bauksit pada pertengahan 2015, namun aduan itu melibatkan isu pencemaran alam sekitar, yang berada di luar bidang kuasa suruhanjaya itu.

"Kami tidak dapat campur tangan kerana tiada elemen rasuah. Tapi jangan kata kami tidak ambil tindakan kerana kami lakukan risikan yang tidak dihebahkan atas faktor kerahsiaan maklumat dan sensitiviti," katanya.


Azmi juga tidak menolak kemungkinan SPRM akan melakukan tangkapan susulan khususnya orang tengah dan pegawai kerajaan termasuk dari agensi lain berhubung isu bauksit.

Beliau memohon supaya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah dalam perlombongan bauksit untuk tampil ke pejabat SPRM, kerana siasatan dalam isu rasuah memerlukan saksi.


Selain itu, Azmi juga berkata siasatan juga mendapati ketirisan berlaku apabila siasatan setakat ini mendapati kutipan royalti kepada kerajaan negeri berjumlah RM47 juta pada tahun 2015 sepatutnya dianggarkan berjumlah lima kali ganda daripada jumlah itu.

"Ini menyebabkan kerajaan negeri kerugian dari segi kutipan cukai dan kami berpandangan ini berlaku disebabkan rasuah atau penguatkuasaan yang lemah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Najib Imbau Kenangan Bersama Ayahanda

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain