suria

Padah Merokok Di R&R

IPOH: Seramai 33 individu dikompaun RM250 seorang kerana merokok di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) seluruh Perak dalam operasi dua hari bermula 5 Januari lalu, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Juita Ghazalie.

Beliau berkata Operasi Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu dijalankan serentak di 18 R&R dan melibatkan 15 pasukan dengan jumlah anggota seramai 103 orang.

Katanya operasi dijalankan secara serentak di seluruh daerah bagi memberi impak penguatkuasaan yang menyeluruh.

"Jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang operasi adalah sebanyak RM8,250.

Individu yang ditangkap perlu menjelaskan kompaun yang ditawarkan di Pejabat Kesihatan Kinta.

"Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh 30 hari, kes akan didaftar di mahkamah dan saman akan dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Kawasan R&R merupakan satu daripada 22 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan Kementerian Kesihatan dan mula dikuatkuasakan di Perak sejak Jun 2015.

"Penguatkuasaan larangan merokok di kawasan berkaitan bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok basi," katanya.

Menurut Dr Juita orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang merokok di kawasan R and R boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut.

Merokok, Juita Ghazalie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain