Imigresen Terengganu Tahan 25 Pati Pelbagai Warganegara - Semasa | mStar

Imigresen Terengganu Tahan 25 Pati Pelbagai Warganegara

BESUT: Jabatan Imigresen Terengganu menahan 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk empat sekeluarga warga Indonesia berusia 29 hingga 70 tahun dalam operasi yang diadakan di daerah Besut dan Setiu pada Rabu malam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata empat beranak berkenaan mendakwa sudah tinggal di negeri itu selama tujuh tahun dan sebelum ini pernah menetap di Sabah.

"Suami isteri warga Indonesia yang kedua-duanya berusia 70 tahun itu bersama dua anak lelaki mereka berusia 29 dan 32 tahun tinggal di hujung Kampung Mak Sara di Besut.

"Hasil pemeriksaan mendapati keluarga ini memencilkan diri di kampung itu dan tidak bergaul dengan masyarakat bagi mengelakkan identiti mereka diketahui," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan selesai.

Operasi enam jam yang bermula 5 petang melibatkan pemeriksaan ke atas 58 warga asing hasil serbuan di empat kedai makan dan masing-masing satu ladang ternak udang, tapak pembinaan dan kediaman.

Daripada 25 PATI itu, 10 daripadanya ialah warga Myanmar, Bangladesh (enam), Thailand (lima) dan Indonesia (empat) yang berumur antara 18 dan 70 tahun.

Ahmad Salihin berkata seramai 14 pegawai serta anggota Imigresen terbabit dalam operasi itu yang merupakan yang kedua diadakan tahun ini selepas di Kemaman tiga hari lepas.

"Mereka akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.

Imigresen , Pati

Artikel Sebelum

Lima Ditahan Main Judi Haram

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun