suria

Pemandu Van Sekolah Dipenjara 24 Tahun, Dua Sebatan Rogol Pelajar Lembam

Ser Kim Joo didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang pelajar lembam berusia 16 tahun.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van sekolah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang pelajar lembam berusia 16 tahun.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Ser Kim Joo, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Kes ini melibatkan pemandu van yang menghantar dan mengambil pelajar dari rumah ke sekolah. Perkara ini menjadi perhatian dan menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat. Namun, mahkamah turut mengambil kira tertuduh yang kelihatan uzur dan umur melebihi 50 tahun," kata hakim itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Ser dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 2 Disember 2014.

Ini bermakna tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan dua sebatan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

Duda empat anak itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar tingkatan empat itu di sebuah flat di Wangsa Maju di sini pukul 11 pagi, pada 22 November dan 29 November 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, peguam Tan Choon Hong yang mewakili Ser, memohon supaya anak guamnya dihukum penjara minimum dan tidak dikenakan sebatan atas alasan tertuduh tidak melakukan keganasan yang meninggalkan kesan buruk terhadap mangsa, selain faktor usianya ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat serta menasihatkan orang awam agar tidak mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang diamanahkan oleh ibu bapa terutamanya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.

"Mangsa diamanahkan oleh ibunya kepada tertuduh untuk dihantar ke pusat tuisyen. Namun, perbuatan licik tertuduh berjaya memperdaya mangsa yang masih muda dan lembam sehingga merogolnya sebanyak dua kali di rumah tertuduh," kata Liyana Zawani.

pemandu van sekolah, rogol

Artikel Lain