suria

Mayat Lelaki Ditemui Ditepi Jalan Bukit Sumpitan Selama

IPOH: Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan tanpa identiti ditemui di tepi jalan masuk di Bukit Sumpitan dekat sempadan Gerik dan Selama, di sini pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Selama DSP Loo Lian Lay berkata mayat lelaki itu ditemui oleh orang awam di kawasan berkenaan sebelum membuat panggilan ke bilik gerakan polis Selama, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

"Hasil siasatan di tempat kejadian, polis telah jumpa satu lelaki bangsa tidak pasti mati dalam keadaan terlentang dan berpakaian penuh. Terdapat kesan darah pada dahi mangsa dan tidak menemui apa-apa kesan darah di sekeliling mayat. 

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu, pihak polis tidak menemui sebarang pengenalan diri dan dipercayai di bunuh di tempat lain dan mayat di buang di tempat kejadian berdasarkan kesan darah yang telah kering," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, mangsa yang ditemui memakai baju-T berwarna gelap, berseluar jeans biru gelap serta memakai tali pinggang coklat itu mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter (5.4 kaki), berumur dalam lingkungan 50-an dan berbadan gempal.

Loo berkata berdasarkan pemeriksaan forensik, terdapat tiga tembakan telah ditemui iaitu satu di bahagian dahi manakala dua lagi di bahagian muka.

"Mangsa dipercayai di tembak dari jarak sederhana dengan peluru dipercayai jenis .22 milimeter. Tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri yang dijumpai pada mangsa. Bagaimanapun, berdasarkan kesan (pelalian) BCG di lengan kiri mangsa, beliau dipercayai merupakan seorang warganegara Malaysia," katanya.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat.

"Usaha untuk mengesan waris mangsa akan dibuat melalui cap jari yang dirujukpada Jabatan Pendaftaran Negara dan Bukit Aman, serta menghantar semboyan pada semua Ibu Pejabat Polis Semenanjung," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mengenali mangsa diminta segera ke balai polis yang berhampiran atau berhubung terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Selama bagi membantu siasatan. -Bernama

mayat lelaki, Selama, Bukit Sumpitan

Artikel Lain