suria

Kes Tikam: Dua Penghantar Surat Didakwa Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Dua penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa selepas didakwa berhubung kes tikam seorang petugas Astro Awani, Ahmad Hawari Zakaria, di sebuah pangsapuri di Setapak pada Jumaat lepas.

M. Tinesh, 20, dan M. Arvendran, 20, dituduh berada dalam rusuhan menggunakan senjata dengan tujuan mencederakan Ahmad Hawari, 33, di PV 20 Blok B22-3A Platinum Condo, Jalan Usahawan 2, Setapak pada 11.30 malam, 18 Disember lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa tidak menawarkan sebarang jaminan kerana adanya peruntukan mengikut seksyen itu, yang tidak membenarkan jaminan.

Bagaimanapun, peguam Vincent Chew Zi Xian yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan diberikan atas alasan mereka masih bujang, bergaji rendah selain keluarga masing-masing sedia menjadi penjamin.

Majistret Husna Dzulkifly kemudian membenarkan Tinesh dan Arvendran masing-masing dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu mereka tidak boleh mengancam atau mengganggu mana-mana saksi daripada tampil memberi keterangan di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Ahmad Hawari, yang bertugas sebagai pengurus pentas di stesen televisyen itu, telah diserang dan ditikam di perutnya oleh seorang wanita.

Beliau masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan wanita itu dipercayai masih bebas.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa dipercayai berselisih faham dengan sekumpulan lelaki di hadapan dua pengawal keselamatan. - BERNAMA

tikam, Astro Awani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain