suria

Kementerian Pendidikan Cari Mekanisme Selesaikan Tunggakan Bayaran

PEDU: Kementerian Pendidikan akan mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah tunggakan pembayaran kepada syarikat kontraktor di bawah kementerian pada masa akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pihaknya terlebih dahulu mahu berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan bagi mencari titik kelemahan sistem pembayaran sedia ada bagi tujuan itu.

Jelasnya, ini kerana sistem pembayaran sedia ada tidak dibuat secara berpusat tetapi dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri yang diturunkan kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Jadi saya (kena) tengok baliklah, keseluruhan PPD 137 sekarang dan akan tengok bagaimana kaedah pembayaran dan macam mana mereka salurkan kepada kontraktor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kasih Siswa Universiti Utara Malaysia di sini, Jumaat.

Tiga pecahan utama kontraktor sekarang ialah kontraktor dewan makan asrama, kawalan keselamatan tanpa senjata, dan kontraktor kebersihan sekolah, katanya ketika mengulas rungutan syarikat-syarikat kontraktor yang masih belum menerima pembayaran selama berbulan-bulan walaupun kerja telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata KPM akan berusaha memberi peluang kedua kepada pelajar yang melakukan kesalahan serius sehingga menyebabkan dibuang sekolah.

"Kami masih bagi peluang kedua, melainkan kesalahan melibatkan mahkamah kena pergi Sekolah Pemulihan Akhlak.

"Soal kesalahan pelajar yang melampaui kesalahan biasa, tak kira kes melibatkan khalwat, gangsterisme, buli, ia bukan saja bergantung semata-mata di sekolah, bergantung juga kepada ibu bapa dan masyarakat," katanya.

Kementerian Pendidikan

Artikel Sebelum

Artikel Lain