suria

Buku Ajaran Syiah: Faisal Tehrani Mohon Kebenaran Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Penulis Faisal Tehrani memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap perintah larangan yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri berhubung penerbitan empat buah buku miliknya yang didakwa mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah.

Buku berkenaan ialah 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' yang diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn Bhd, 'Karbala' yang diterbitkan oleh Abeerden Books World, 'Tiga Kali Seminggu' dan 'Ingin Jadi Nasrallah' yang kedua-keduanya diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.

Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa, 41, selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 29 Jun lepas, menerusi Tetuan Messrs. Cheang  and Ariff dengan menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini melalui Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Menteri Dalam Negeri, ketika kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Aini Yahya.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Nursyakeera Idora Ahmad Affandi mewakili Mohd Faizal.

Shamsul ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk pengurusan kes.

Dalam permohonan itu, Mohd Faizal memohon satu perintah mahkamah untuk membatalkan perintah larangan yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penerbitan empat buah buku miliknya di bawah Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini).

Mohd Faizal juga memohon deklarasi bahawa perintah yang dibuat pada 12 Februari lepas tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Artikel 8(1) dan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau, yang juga felo penyelidik di sebuah universiti awam turut memohon deklarasi supaya perintah tersebut adalah tidak rasional atau bersifat ultra vires kerana ia bertentangan dengan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Menurut afidavit yang dikemukakan, Mohd Faizal berkata perintah yang dikeluarkan itu tidak rasional kerana empat buah buku berkenaan telah diedarkan di pasaran antara empat hingga tujuh tahun tanpa menyebabkan sebarang prejudis kepada ketenteraman awam dan keselamatan.

Katanya, perintah itu dikeluarkan atas alasan empat buah buku miliknya mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan dan beliau hanya mengetahui mengenai larangan tersebut selepas membaca laporan mengenainya di media pada 5 Mei lepas.

Mohd Faizal berkata pada 3 Disember 2013, beliau telah menerima sepucuk surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa terdapat empat buah buku yang ditulis olehnya telah diperakukan larangannya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, KDN telah menjemputnya untuk hadir ke satu mesyuarat bagi membincangkan penerbitan buku-buku berkenaan.

Mohd Faizal berkata beliau telah menjawab surat KDN bertarikh 3 Disember 2013 dengan menyatakan bahawa JAKIM tidak mempunyai sebarang kuasa di sisi undang-undang untuk mengharamkan sebarang penerbitan atau buku dan tidak timbul sebarang isu mengenai penerbitan buku-buku tersebut.

Pada 5 Mei lepas, KDN mengharamkan penerbitan empat buku tulisan penulis kontroversi itu kerana ia didapati mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. -- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain