suria

Pegawai Pelindung Temui Ibu Mangsa Dera - Rohani Karim

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menghantar pegawai pelindung untuk bertemu dengan ibu kandung kanak-kanak empat tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya di Klang, Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bagaimanapun berkata buat masa ini pegawai terbabit masih belum dapat menemubual ibu mangsa yang baru sahaja bersalin di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Ibu mangsa masih di hospital dan pihak kita menunggu masa yang sesuai untuk mendapatkan penjelasan secara terperinci mengenai kes tersebut," katanya dalam sidang media, di sini, Selasa.

Beliau berkata, pegawai pelindung juga telah menemui kelima-lima anak suspek kes terbabit yang kini sedang menumpang di rumah ibu saudara mereka bersama isteri suspek.

Menurutnya kesemua anak suspek tidak menunjukkan tanda mereka mengalami trauma atas kejadian tersebut, namun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menawarkan perkhidmatan kaunseling jika diperlukan.

Pada Ahad, mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dibaluti tuala putih ditemui di dalam sebuah tandas yang tidak digunakan di rumah teman lelaki ibunya, di Kampung Sungai Udang, Klang.

Susulan itu, suspek dan adik ipar perempuannya masing-masing berusia 39 dan 29 tahun direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak berkenaan mendapati mangsa mati akibat kecederaan di kepala kerana dipukul dengan objek tumpul.

Polis turut menemui sebatang rotan dan sebatang paip PVC dipercayai digunakan untuk memukul kanak-kanak itu.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain