suria

Polis Nafi Bom Punca Kereta Terbakar

PETALING JAYA: Polis menafikan khabar angin bahawa sebuah bom menjadi punca kebakaran yang memusnahkan enam kenderaan di tempat letak kereta berdekatan stesen LRT Taman Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din menafikan dakwaan tersebut dan berkata ia berpunca daripada perbuatan khianat.

"Tiada bom. Kami sedang menyiasat kes ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memaklumkan di laman Twitternya mengenai insiden tersebut.

"Terdapat seseorang yang membakar kereta di tempat letak kereta di LRT Taman Jaya, Pj. Tiada letupan bom. @PDRM sedang menyiasat kes khianat ini," tulisnya.

Imej kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu menjadi viral di WhatsApp sejurus selepas kejadian tersebut.

Kejadian itu dikaitkan dengan khabar angin bahawa sebutir bom dipasang di lokasi tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa selama setengah jam untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

kebakaran, stesen LRT Taman Jaya

Artikel Lain