suria

Nahas Chiang Mai: 15 Ahli Keluarga Mangsa Berlepas Ke Bangkok Tengah Hari Ini

Antara mayat yang berjaya dikeluarkan dari bangkai bas yang terbabas.

BATU PAHAT: Seramai 15 ahli keluarga mangsa kemalangan bas di Chiang Mai, utara Thailand, Ahad, dijangka berlepas ke Bangkok, tengah hari Isnin.

Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd Terence Yung berkata kesemua mereka akan berlepas pada 1 tengah hari, menaiki penerbangan Thai Airways ke Bangkok menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kemudian menaiki pesawat pukul 5 petang ke Chiang Mai.

"Kesemua mereka terdiri daripada tujuh keluarga yang akan mengenal pasti anggota keluarga mereka yang terkorban dan terselamat dalam insiden kemalangan yang berlaku tengah hari Ahad.

"Tiga kakitangan syarikat turut menemani mereka bagi menguruskan pengeluaran sijil kematian dan proses membawa pulang mayat mangsa," kata beliau ketika ditemui pemberita di sini awal pagi Isnin.

Kesemua 15 anggota keluarga mangsa terlebih dahulu berlepas dari Batu Pahat pada 5 pagi tadi menaiki van bersama dua kakitangan syarikat untuk ke KLIA.

Yung berkata kesemua 22 mangsa dari Batu Pahat itu dihantar keempat hospital sekitar Chiang Mai iaitu Bangkok Hospital, McCormick Hospital, Doi Saket Hospital dan Suan Dok Hospital.

"Kami menjangkakan urusan bagi mayat mangsa dibawa pulang akan mengambil masa lebih kurang empat hingga tujuh hari," kata pengurus berusia 36 tahun itu.

Beliau berkata kesemua mangsa sepatutnya pulang hari ini menaiki pesawat pada 11 pagi ini, dari Chiang Mai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

"Ketika mendapat berita pada 4 petang semalam, kami telah membentuk pasukan kecemasan untuk mengumpul semua maklumat sebelum memberitahu anggota keluarga mengenai status sebenar mangsa kira-kira 9 malam semalam (Ahad)," kata Yung.

Beliau berkata kebanyakan anggota keluarga ketika mendapat tahu mengenai perkhabaran itu, bersedih namun tetap tenang.

"Kami juga turut sedih dengan tragedi ini dan amat bersimpati dengan anggota keluarga mangsa yang terlibat. Kami turut kehilangan ketua rombongan yang juga kakitangan syarikat yang telah lama bekerja di sini," kata beliau.

Sehingga 9 malam Ahad, seramai 13 mangsa, terdiri daripada lima lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 dan 80 tahun dilaporkan maut, kata Yung.

Dalam kejadian 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) itu, seramai 22 rakyat Malaysia berada dalam bas berkenaan selain beberapa penumpang lain yang belum dikenal pasti kewarganegaraan mereka.

Menurut laporan berita antarabangsa, bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap, ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai. - BERNAMA

nahas, Chiang Mai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain