suria

Kerajaan Pastikan Usaha Bawa Pulang Jenazah Mangsa Kemalangan Di Thailand

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan segala usaha membawa pulang jenazah serta bantuan diberikan kepada keluarga mangsa kemalangan bas di Chiang Mai, utara Thailand pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sedih mendengar berita kemalangan itu yang mengorbankan  13 rakyat Malaysia.

"Saya sedih mendengar berita kemalangan di Chiang Mai di mana 13 rakyat kita terkorban. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kerajaan akan memastikan segala usaha dibuat bagi membawa pulang jenazah serta bantuan diberikan kepada keluarga mangsa," katanya dalam akaun Facebook dan Twitter beliau malam Ahad.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam akaun Twitternya malam Ahad turut menzahirkan takziah dan berharap Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussin melakukan yang terbaik bagi menguruskan perkara itu.

"Takziah kepada keluarga 13 rakyat Malaysia yang terkorban akibat kemalangan di Thailand. Diharap Duta kita lakukan terbaik untuk urus semua jenazah," kata Ahmad Zahid.

Seramai 13 rakyat Malaysia disahkan maut manakala sembilan lagi cedera termasuk empat parah dalam kemalangan bas di Chiang Mai pada Ahad.

Dalam kejadian 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) itu, seramai 22 rakyat Malaysia berada dalam bas berkenaan selain beberapa penumpang lain yang belum dikenal pasti kewarganegaraan mereka. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain