suria

29 Mangsa Banjir, Tanah Runtuh Di Labuan Masih Di Pusat Pemindahan

Zainal berbual dengan seorang ibu yang baharu sahaja melahirkan anaknya di pemindahan sementara di dewan Balai Bomba Layang-Layangan, Labuan.

LABUAN: Kesemua 29 mangsa banjir dan tanah runtuh yang terdiri daripada empat keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara di dewan Balai Bomba Layang-Layangan di sini pada Sabtu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin memberitahu Bernama bahawa pusat itu akan terus dibuka sehingga keadaan cuaca kembali seperti biasa.

Katanya, air mulai surut di sesetengah tempat di kampung berkenaan yang mengalami banjir berikutan hujan berterusan selama tiga hari.

"Bagaimanpun, rumah mereka masih mengalami banjir lumpur dan perlu dibersihkan sebelum mereka dapat kembali menghuninya," kata beliau.

Ketua Pejabat Perkhidmatan Masyarakat Kawasan Parlimen Labuan Basran Yunus mengesahkan 16 rumah di 11 kampung terjejas oleh banjir.

Kampung berkenaan ialah Kg Lubok Temiang, dengan sebuah rumah terjejas, Sungai Lada (dua), Belukut (dua), Sungai Buton (dua), Rancha-Rancha (tiga), Merinding (satu), Sungai Labu (satu), Sg Bangat (satu), Bukit Kuda (satu), Gersik (satu) dan Kg Kilan (satu).

Basran berkata tanah runtuh berlaku pada Jumaat di empat kampung iaitu Kg Lubok Temiang, Sungai Bedaun, Belukut dan Bebuloh Darat.

Katanya, bantuan segera daripada tabung pejabat itu dan Yayasan Wilayah akan disalurkan kepada mangsa iaitu minimum RM300 hingga RM1,000 bagi setiap keluarga yang terjejas.

"Kami menerima laporan mengenai jumlah rumah yang terjejas di 11 kampung. Kami sedang menentukan bantuan yang patut diberi kepada mereka, termasuk bahan untuk membaiki rumah, yang akan disalurkan dengan segera," katanya.

Beliau berkata agensi lain yang turut memberi bantuan kepada mangsa ialah Perbadanan Labuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). - BERNAMA

tanah runtuh, banjir, Labuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain