suria

Suspek Kes Samun Ditembak Mati Cuba Serang Anggota Polis

KOTA BARU: Seorang suspek kejadian samun ditembak mati selepas cuba menyerang anggota polis di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Pasir Pekan, Tumpat.

Ketua polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian 3 pagi Sabtu, suspek lelaki berusia 34 tahun itu enggan menyerah diri sejurus polis tiba di tempat berkenaan, sebaliknya bertindak menyerang mereka menggunakan pisau.

"Apabila polis sampai di tempat kejadian, suspek sedang menyamun di dalam kedai itu. 

"Anggota polis peronda memberi arahan kepada suspek supaya meletakkan senjata sebaliknya suspek terus menyerang dengan senjata tajam (pisau) ke arah anggota polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di Universiti Malaysia Kelantan di sini, Sabtu.

Beliau berkata, anggota polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang terkena pada bahagian kaki kiri dan dada suspek menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Mazlan berkata sebelum itu, polis menerima panggilan mengenai kejadian samun itu daripada seorang pekerja kedai berkenaan yang bersembunyi dalam stor.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu menunjukkan suspek memasuki kedai berkenaan untuk menyamun pada 2.45 pagi.

Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. - Bernama

Artikel Lain