suria

Esscom Pertingkatkan Aset Di Sabah

PUTRAJAYA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan meningkatkan asetnya selepas kerajaan melihat keperluan untuk mengukuhkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan sudah mula menggerakkan helikopter, pesawat dan radar serta meluaskan kawasan perlindungannya.

"Kawasan-kawasan di Zon Selamat Timur Sabah, yang bermula kira-kira 1,700km menghadapi ancaman berterusan selama 365 hari setahun. Penceroboh hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyelinap masuk.

"Oleh itu terdapat keperluan untuk meningkatkan keselamatan termasuk dari segi aset untuk melindungi kedaulatan negara, khususnya negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi  Esscom di bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mesyuarat itu memberi tumpuan kepada penggunaan aset Esscom sedia ada dan bagi mengenal pasti kelemahan supaya ia dapat diperbaiki.

"Kita tahu penceroboh menggunakan taktik perang gerila...kita tidak boleh jatuh ke dalam perangkap mereka," kata Ahmad Zahid.

Esscom, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain