suria

Tambah CCTV Di Pulau Pinang Untuk Cegah Jenayah

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi menyerahkan kerusi roda kepada warga PDRM Abdul Rahim Hashim, 59, di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang (IPK), Isnin.

GEORGE TOWN: Jumlah Kamera Litar Tertutup (CCTV) di Pulau Pinang dijangka ditambah pada tahun hadapan kerana ia banyak membantu pihak polis dalam mencegah dan menyelesaikan kes jenayah, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata ketika ini terdapat 275 buah CCTV di seluruh negeri iaitu 189 lokasi di bahagian pulau dan selebihnya di tanah besar.

"Berdasarkan perbincangan dengan pihak konsultan dan kerajaan negeri Pulau Pinang, mereka bersetuju untuk menambah jumlah CCTV pada tahun hadapan berikutan keberkesanan CCTV dalam usaha mencegah dan menyelesaikan kes jenayah.

"Selain itu, ia juga membantu pihak polis dari segi mengawal keamanan dan pergerakan lalu lintas sama ada kesesakan atau sebagainya kerana semua CCTV itu dipantau 24 jam di Bilik Gerakan Polis Kontinjen Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, Isnin.

Katanya sejak Januari hingga November, sekurang-kuranganya lapan kes membabitkan jenayah dan trafik telah berjaya diselesaikan dengan bantuan rakaman CCTV yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata indeks jenayah di Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga 12 Disember lepas, menurun 11.3 peratus atau 119 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Katanya kes jenayah yang direkodkan pada 2014 ialah sebanyak 8,064 kes berbanding 7,154 kes pada tahun ini.

"Sepanjang tahun ini, pelbagai usaha yang telah kami jalankan untuk mengurangkan jenayah di Pulau Pinang dan sehingga 12 Dis lepas ia menunjukkan hasil yang positif.

"Kejayaan menurunkan 11.3 peratus kes itu juga adalah hasil kerjasama masyarakat dengan pihak polis, mereka sentiasa membantu kami menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan jenayah. Saya harap kerjasama berkenaan diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau berkata sebanyak 28 buah motosikal jenis Honda CBR 250cc akan diagihkan kepada lima daerah di Pulau Pinang untuk penugasan rondaan pencegahan jenayah di daerah masing-masing.

"Setiap daerah akan menerima sebanyak lima buah motosikal dan tiga buah pula adalah untuk kegunaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang," katanya.

-- Bernama

Artikel Lain