suria

Penganggur Ditangkap Ceroboh Kawasan Istana Pasir Pelangi

Wan Ahmad Najmuddin Mohd

JOHOR BAHARU: Seorang penganggur lelaki ditahan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) di kawasan Istana Pasir Pelangi di sini Khamis malam, selepas di dapati menceroboh.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berusia 27 tahun itu berasal dari Taman Dahlia, Tampoi dan dipercayai menceroboh kawasan istana melalui satu daripada pintu masuk, pada 12 tengah malam.

Katanya, askar JMF yang menyedari kehadiran lelaki itu kemudiannya bertindak segera menahannya dan menyerahkan suspek kepada anggota polis Ibu Pejabat Polis Johor Baharu Selatan (JBS).

"Ketika disedari JMF, lelaki itu sudah pun masuk sejauh 50 meter ke dalam kawasan istana.

"Hasil soal siasat, polis mendapati lelaki itu memberi alasan ingin berjumpa dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Wan Ahmad berkata lelaki itu kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Polis juga akan mendapatkan laporan kesihatan daripada pihak hospital untuk mengesahkan sama ada suspek mengalami gangguan penyakit mental atau sebaliknya.

Susulan kejadian itu, polis turut mempertingkat kekerapan rondaan di kawasan istana bagi mengelakkan kejadian sama berulang selain daripada menjamin keselamatan penghuni.

Beliau juga berkata orang ramai perlu mengambil maklum, istana adalah antara kawasan larangan yang telah diwartakan kerajaan.

Tambahnya, sejak tahun 2010 hingga 2014, empat kes pencerobohan berlaku dikawasan larangan dengan kesemua penceroboh didapati mengalami masalah mental.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawsan larangan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain