suria

Mayat Reput, Kepala Hampir Putus Ditemui Di Ladang

KOTA KINABALU: Bau busuk telah membawa kepada penemuan mayat lelaki reput dengan kepala hampir terputus serta patah pergelangan tangan oleh seorang peneroka Felda di Umas Umas, Pantai Timur daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Harsus berkata peneroka berkenaan menjumpai mayat itu pada Rabu, namun mereka percaya mangsa telah dibunuh sehari atau dua hari sebelum itu.


Beliau berkata peneroka Felda itu memanggil polis bantuan selepas menemui mayat itu di dalam gaung berhampiran kuarters pekerja ladang.

Satu pasukan forensik polis daerah Tawau kemudiannya dihantar ke tempat kejadian dan mereka mendapati kesan darah dan gigi dipercayai milik mangsa.

Fadil berkata, mangsa tidak dapat segera dikenalpasti kerana tiada sebarang dokumen ditemui dan mayatnya telah reput.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Tawau untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
mayat reput, putus kepala

Artikel Lain