suria

Proses Pindaan Akta Kebankrapan Di Peringkat Akhir - Nancy Shukri

Nancy Shukri
KUALA LUMPUR: Proses pindaan Akta Kebankrapan 1967 bagi membantu individu diisytihar bankrap kini di peringkat akhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata antara pindaan yang dimasukan ialah bagi membantu penjamin sosial yang turut diisytihar bankrap oleh agensi pemberi pinjaman kerana menjamin peminjam.

"Ini antara yang kami masukkan dalam akta baharu nanti selain kami juga mencuba mencari jalan alternatif bagi melepaskan individu daripada kebankrapan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Prof Dr Sim Kui Hian pada persidangan Dewan Negara Khamis.

Dr Sim mahu pihak berkenaan mencari jalan membantu individu bankrap terutama penjamin peminjam yang turut diisytihar bankrap serta mencadangkan dibenarkan menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyelesaikan hutang mereka sekaligus bebas daripada status bankrap.

Mengulas lanjut, Nancy berkata cadangan berkenaan juga akan dipertimbangkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Beliau berkata sejak tahun 2010 sehingga Oktober tahun ini, sejumlah 11,159 individu diisytiharkan bankrap dan 60.8 peratus daripadanya daripada kalangan penjamin sosial.

Dalam pada itu, Nancy menasihatkan agar individu yang diisytihar bankrap tidak mengabaikan arahan untuk hadir ke mahkamah, kerana individu tersebut mungkin boleh menyelesaikan isu bankrap di mahkamah.

"Ada antara kes yang tidak melibatkan jumlah yang membolehkan mereka diisytihar bankrap. Jika mereka boleh terangkan ini di mahkamah dan mereka tidak sepatutnya diisytiharkan bankrap, mereka mungkin boleh bebas daripada status berkenaan," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain