suria

Kes Saman Terhadap PAS, Mustafa Ali, Harakahdaily Diselesai Secara Baik

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed terhadap  PAS, bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan dua yang lain berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa terhadap Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkaitan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Kes saman berkenaan diselesaikan selepas keempat-empat defendan dalam kes saman itu mengemukakan permohonan maaf yang dibacakan peguam mewakili mereka, Sharifah Nur Asmaa' Syed Azman dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Keempat-empat defendan itu ialah parti PAS, Mustafa yang ketika itu Setiausaha Agung PAS, Ketua Pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong dan Pengarang akhbar online itu, Azmi Yusof.

Mahkamah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan dan memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos berjumlah RM20,000 kepada Mustapa selaku plaintif.

Sharifah Nur Asmaa' ketika membacakan kenyataan maaf itu berkata, "Defendan-defendan mengakui bahawa tiada sebarang asas terhadap perkataan dan tuduhan yang dipersoalkan itu dan menyesal dengan perbuatan mereka.

"Susulan itu, defendan-defendan mengambil peluang ini untuk menarik balik perkataan dan tuduhan yang dipersoalkan itu tanpa syarat dan memohon maaf kepada Mustapa bagi tekanan dan aib yang dialaminya akibat penerbitan dan penerbitan semula perkataan fitnah dan tuduhan itu yang sama sekali adalah tidak benar dan tidak berasas".

Sharifah Nur Asmaa' berkata kesemua defendan dengan itu memohon maaf kepada plaintif sekiranya mana-mana perkataan dalam artikel tersebut telah menguris perasaan dan mencemarkan maruah plaintif.

Sementara itu, kes saman Mustapa terhadap Husam, selaku defendan pertama dalam kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan pada 27 Januari tahun depan.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Lew Cho Kang yang mewakili Mustapa dan peguam Mohamad Fitri Khalis Ahmad mewakili Husam.

Pada 22 April 2013, Mustapa memfailkan saman itu selepas mendakwa Husam telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadap beliau berhubung saham FGVH dalam ceramah politik Husam di Tapak Ekspo Machang, Kelantan pada 23 Mac 2013.

Anggota Parlimen Jeli itu mendakwa pada 24 Mac 2013, PAS dan defendan lain menerbitkan perkataan fitnah itu menerusi harakahdaily.net. yang boleh diakses berjuta-juta pengguna laman sesawang berkenaan.

Mustapa mendakwa kenyataan fitnah itu, antara lain, membawa maksud beliau adalah seorang pemimpin dan ahli politik yang korup, tidak berkredibiliti serta menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin Umno.

Beliau memohon ganti rugi untuk fitnah bertulis, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan fitnah berkenaan. -- Bernama


PAS, Mustafa Ali, Harakahdaily, Husam Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain