suria

Ketepi Perbezaan Pendapat Bagi Pastikan PAU 2015 Lancar - Pengerusi Tetap Umno

KUALA LUMPUR: Semua anggota Umno perlu mengetepikan perbezaan pendapat bagi memastikan kelancaran Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang akan bermula Rabu ini.

Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata mereka perlu memberi keutamaan kepada perjuangan parti untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, serta memastikan Umno terus dihormati dan disanjungi.

Beliau yakin Perhimpunan Agung Umno kali ini akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana anggota Umno berfikiran matang.

"Ahli-ahli Umno sayang kepada parti. Jadi sebagai anggota parti yang beragama Islam dan orang Melayu, kita banyak berunding daripada berbalah...kita mencari jalan terbaik untuk selesaikan sekiranya ada perbezaan," katanya kepada pemberita di sini.

Badruddin, yang juga Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkata demikian selepas menjadi anggota panel "Simposium Agropreneur Muda: Prospek dan Cabaran" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Badruddin berkata anggota Umno tidak sepatutnya menggunakan perhimpunan agung parti itu sebagai tempat untuk berbalah.

"Tegur-menegur perkara biasa tetapi sebagai orang Islam, ianya mesti dilakukan secara berhemah, dan mesti hormat menghormati antara satu sama lain, terutama kepada yang tua dan hormat kepada kepimpinan," katanya apabila ditanya kemungkinan situasi luar jangka akan berlaku pada PAU kali ini.

Badruddin juga turut mengingatkan anggota Umno bahawa perbuatan mengutuk pemimpin tertinggi parti yang dipilih sendiri oleh peringkat akar umbi adalah satu tindakan yang tidak betul.

Menyentuh mengenai perbezaan perhimpunan kali ini berbanding sebelum ini,  Badruddin berkata ketiadaan ucapan perasmian Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan dianggap melanggar adat dalam perhimpunan agung kali ini, dan ia tidak mematikan amalan demokrasi dalam parti.

Malah tiada dalam peraturan parti yang mewajibkan ucapan daripada Timbalan Presiden setiap kali berlangsungnya perhimpunan agung, katanya.

"Bagi saya, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sudah ada ketua sendiri, dan kalau ketua hendak berucap dan rasmi sendiri sayap parti, itu hak mereka...tidak ada peraturan dan undang-undang.

"Benda yang kebiasaan (selalu buat) kadang-kadang juga boleh dijadikan tidak biasa, dan tidak biasa, boleh menjadi kebiasaan," kata Badruddin.

Perasmian perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti yang akan dirasmikan ketua masing-masing akan diadakan Rabu ini dan diikuti perasmian PAU oleh presiden parti pada Khamis. -- Bernama

Badruddin Amiruldin, PAU 2015, Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain