suria

Polis Tahan Lapan Remaja Bergaduh Kerana Dadah

BUTTERWORTH: Polis menahan lapan remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan antara mereka di Jalan Pantai Intan, di sini awal pagi Selasa lepas.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, kira-kira 11 lelaki dari dua kumpulan berkenaan bergaduh di kawasan terbabit.

"Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi polis sebelum sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian dan ketika itu mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami," katanya di sini, Khamis.

Katanya lapan daripada mereka berjaya ditahan polis manakala beberapa lagi melarikan diri dan polis turut merampas sebuah kereta milik seorang daripada lelaki berkenaan yang berada di tempat kejadian.

Beliau berkata dua daripada lapan remaja lelaki itu mengalami kecederaan iaitu luka dan bengkak di kaki, lutut dan badan selepas bergaduh dalam kejadian berkenaan.

Jurucakap itu berkata pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan tidak menggunakan sebarang senjata dan hanya berlaku tumbuk menumbuk antara mereka.

Katanya siasatan awal dipercayai punca pergaduhan antara dua kumpulan itu berikutan perbalahan mengenai sindiket pengedaran dadah.

Semua mereka berusia 14 hingga 20 tahun itu direman bagi membantu siasatan, katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam ketika dihubungi berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan beberapa lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu giat dijalankan," katanya.

Dadah, Polis

Artikel Berikut

Artikel Lain