suria

Mat Sabu Tiada Modal, Terdesak Selamatkan Karier Politik - Nik Abduh

KUALA LUMPUR: Tuduhan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yang mendakwa PAS diresapi ideologi militan I.S atau pengganas Daesh adalah langkah terdesak bagi mengembalikan karier politiknya yang kini ibarat telur di hujung tanduk.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata Mohamad atau Mat Sabu sudah tidak ada modal untuk menjatuhkan PAS sejak beliau keluar daripada parti itu dan membentuk Amanah.

"Selepas krisis perpecahan ini (PAS-Amanah), semua tahu bahawa PAS kekal dengan dasar dan polisinya, dan parti serpihan ini (Amanah) pula terpaksa mencari hujah, yang bagi saya terlalu mudah ditolak bukan oleh PAS saja, bahkan oleh rakyat.

"Isu takfiri (mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan) ini adalah hujah pada tahun 80-an yang pernah digunakan Umno, tapi sekarang Umno juga sudah tidak menggunakan hujah itu kerana mereka tahu PAS membawa Islam sebenar.

"Dia (Mat Sabu) nak buktikan, buktikanlah, tapi saya yakin dia tidak mungkin dapat buktikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, Rabu.Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Mat Sabu bahawa PAS diresapi ideologi IS hingga tersubur budaya takfiri selain menjadi punca tertubuhnya Amanah.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh berkata PAS tidak pernah menyokong perjuangan bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin yang menyertai kumpulan itu di Syria hingga terkorban.

"Kita tidak tahu pemergiannya ke Syria. Anggota dan parti sendiri tidak pernah sokong. Walaupun kita menolak rakyat Malaysia berjuang ke sana kerana itu bukan polisi PAS, saya dan ahli PAS mendoakan supaya perjuangan dia diterima.

"Itu benda biasa, orang Umno meninggal, kita doakan, orang PAS meninggal, orang Umno doakan, itu untuk orang mati, kita doakan sesama Muslim supaya diterima oleh Allah," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Mat Sabu itu, bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata dia tidak pernah mendengar kewujudan anggota PAS yang terlibat dalam ideologi militan itu sepanjang beliau menjadi anggota parti tersebut.

"Ini adalah perkara baharu dan pihak yang menuduh (Mat Sabu) serta polis perlu membuktikan dakwaan itu sama ada benar atau sebaliknya," katanya.-- Bernama


Amanah, Mat Sabu, Nik Abduh Nik Aziz, PAS

Artikel Lain