suria

Syarikat Percetakan Diarah Cetak Semula Buku Teks Sejarah Tahun Enam

ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan mengarahkan syarikat percetakan supaya mencetak semula buku teks subjek sejarah bagi tahun enam kerana berlaku kesilapan pada kedudukan peta negeri Melaka.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, syarikat pencetakan tersebut juga perlu menanggung sendiri kos cetakan semula.

"Walaupun kesilapan itu melibatkan satu muka surat sahaja, tetapi syarikat pencetakan perlu mencetak semula buku berkenaan, mereka tidak boleh tampal muka surat yang salah itu.

"Kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu diperbetulkan agar tidak mengelirukan pelajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan  Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Kebangsaan 2015 di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas berhubung kandungan buku teks sejarah tersebut yang didapati salah memaparkan kedudukan negeri Melaka pada peta Semenanjung Malaysia.

Ia memaparkan kedudukan Melaka di bahagian pantai timur iaitu di atas negeri Kelantan. Perkara itu menjadi viral di laman sosial dan mengundang reaksi ramai terutama dalam kalangan ibu bapa.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan bermula pada 8 Disember depan akan menjadi platform terbaik untuk anggota parti menyuarakan pendapat dan buah fikiran berkaitan kerajaan.

"Perhimpunan ini merupakan cara anggota parti daripada pelbagai peringkat kepimpinan dan akar umbi untuk memanifestasikan kesetiaan mereka pada sebuah parti yang meneraju kerajaan.

"Setiap tahun kita berada dalam suasana baik dan harap tahun ini kita praktikkan amalan itu macam biasa," katanya.-- Bernama


Artikel Lain