suria

Polis Kedah Rampas 15Kg Dadah, Lima Ditahan

Helmi Aris (tengah) bersama pegawai penyiasat ASP Raja Hafiz Raja Razak (kanan) menunjukkan dadah heroin dan peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah makmal haram memproses dadah heroin di Sungai Kob, Kulim pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Ahad. Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah DSP Zulkiflee Rashid (kiri). Foto: Bernama

ALOR SETAR: Polis menahan lima orang dan merampas 15 kilogram dadah jenis syabu dan kafein bernilai RM130,500 dalam satu serbuan ke atas makmal memproses dadah di Sungai Kob, Kulim, Khamis lepas.     

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris berkata dalamserbuan pukul 3.40 petang itu, polis menahan tiga lelaki tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur antara 22 dan 55 tahun.     

Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 5.7kg dadah jenis syabu dan 9.3kg dadah dipercayai kafein serta peralatan memproses dadah.     

Katanya ketika serbuan dilakukan lima suspek terlibat baru sahaja selesai memproses dan membungkus dadah itu untuk diedar di pasaran tempatan.     

"Siasatan mendapati rumah itu dijadikan makmal dadah sejak enam bulan lepas dan salah seorang suspek yang dipercayai ketua kumpulan sindiket berkenaan memiliki rekod jenayah berkaitan dadah," katanya pada sidang media pada Ahad.

Helmi berkata pihaknya turut menyita tiga kenderaan pelbagai jenama digunakan sindiket terbabit untuk mengedarkan dadah berkenaan.      

Katanya kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 3 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis Kedah, rampas syabu, kafein

Artikel Sebelum

Artikel Lain