suria

Kes Bunuh Tapah: Reman Semua Suspek Disambung Tujuh Hari Lagi

Suspek kes bunuh di Tapah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari lagi.

TAPAH: Mahkamah Majistret melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari terhadap empat keluarga dalam kes pembunuhan empat individu di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurul Nadia Abdul Razak yang bermula esok dan berakhir 2 Dis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pengusaha bas persiaran wanita berumur 56 tahun yang dilapor hilang pada 1 Mac 2014.

Sebelum ini, empat sekeluarga yang terdiri daripada suami, 57, isteri, 54, serta dua anak lelaki yang masing-masing berumur 20 dan 17 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 November dan berakhir hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, kesemua suspek yang berpakaian lokap tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.25 pagi dengan menaiki trak polis dan diiringi dengan beberapa anggota polis.

Pada 26 Oktober lepas, polis menahan kesemua suspek di sebuah rumah di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini setelah mendapat maklumat berhubung seorang lelaki berusia 46 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 25 Ogos lepas.

Susulan penahanan itu, polis membongkar kehilangan tiga lagi individu yang dipercayai menjadi mangsa keluarga berkenaan.

Semua mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar dan tulang serta abu mayat dibuang ke Sungai Ceroh yang mengalir di belakang bengkel berkenaan. -- Bernama



Artikel Lain