suria

Tidak Perlu Berdemonstrasi Di Kedutaan AS - Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat negara ini melihat lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia demi untuk kepentingan ASEAN dan mereka tidak perlu berdemonstrasi esok bagi membantah lawatan itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata lawatan Obama ialah bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dengan pemimpin-pemimpin rakan dialog ASEAN adalah untuk kepentingan rantau ini dan Malaysia.

"Jangan lihat aspek negatif kepada lawatan ini. Saya harap mereka tidak meneruskan usaha ini," katanya selepas majlis Menandatangani Perjanjian Mencegah dan Membanteras Jenayah Berat bersama Amerika Syarikat di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai badan bukan kerajaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang berhasrat mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di Bangunan Tabung Haji berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini.

Ahmad Zahid berkata beliau menerima perbezaan pendapat, namun semua pihak harus menghormati tetamu memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN.

"Saya harap mereka akan lebih berlapang dada dan berfikiran terbuka dan ia adalah penting untuk menterjemahkan tatasusila rakyat Malaysia iaitu menghormati tetamu apatah lagi tetamu yang penting dan imej tuan rumah mesti dijaga semua pihak," katanya.

Artikel Lain