suria

Tabung Waqf Rakyat Johor Ditubuh Untuk Pengurusan Wakaf Secara Profesional

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menunjukkan buku pembentangan Bajet Negeri Johor 2016 ketika menghadiri Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ismail,Kota Iskandar Nusajaya, Khamis.

NUSAJAYA: Kerajaan Negeri Johor mengumumkan penubuhan Tabung Waqf Rakyat Johor sebagai usaha untuk membangunkan dan menguruskan wakaf secara profesional.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tabung berkenaan akan diuruskan Perbadanan Islam Johor (PIJ) yang akan dilantik sebagai Nazir Khas Pembangunan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Terdapat bukti menunjukkan bahawa sistem institusi wakaf mempunyai potensi yang sangat luar biasa tetapi ia dipinggirkan selama ini dan tidak dikembangkan secara optimum. Justeru, sudah tiba masanya wakaf dibangunkan dan diuruskan secara profesional.

"Kami (kerajaan Johor) mahu membudayakan masyarakat Johor dengan tradisi memberi dan menyumbang serta melaluinya pelbagai inisiatif endowmen boleh dilakukan untuk tujuan pendidikan, penyelidikan sains dan teknologi, pembangunan antarabangsa, budaya, sukan serta pelbagai ikhtiar kebajikan lain," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2016 di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini, Khamis.

Beliau berkata, bagi menjayakan agenda tersebut, Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) akan menyuntik RM5 juta kepada Tabung Waqf Rakyat Johor manakala sebuah sekolah agama wakaf pertama yang akan menggunakan pakai kurikulum pembelajaran antarabangsa juga akan dibangunkan dengan kerjasama Fateh College dari Turki.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan mengambil alih pembinaan 77 buah sekolah agama yang terbengkalai di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM168 juta.

Beliau berkata pengambilalihan itu akan melibatkan empat fasa dan dijangka siap secara berperingkat menjelang 2017.

"Sasaran kita adalah untuk menyiapkan 40 buah sekolah terlebih dahulu menjelang Disember tahun depan manakalanya baki 37 lagi disasar untuk disiapkan menjelang Jun 2017," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian sumbangan RM5,000 kepada setiap badan kebajikan di 564 buah Sekolah Agama Johor bagi menampung kos pengurusan dan pentadbiran sekolah yang akan melibatkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM2.82 juta.

Katanya sekolah-sekolah agama Gred A iaitu mempunyai pelajar lebih 1,100 orang pula akan menerima peruntukan penyelenggaran sebanyak RM4 juta manakala RM5.5 juta diperuntukkan dalam program transformasi melalui Program Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Teknologi Digital (PPBTD) di sekolah agama.

"Elaun bulanan 1,850 orang guru Kelas Al-Qur'an dan Fardu Ain (KAFA) pula akan dinaikkan kepada RM1,312 dan pemberian imbuhan tahunan kepada mereka akan diteruskan. Malah, setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bonus, golongan guru KAFA juga tidak terkecuali menerimanya," katanya.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain