suria

DNA Akan Sahkan Mayat Then Ted Fen - KPN

KOTA KINABALU: Hanya keputusan ujian DNA yang akan mengesahkan mayat tanpa kepala yang ditemui pihak berkuasa Filipina di Pulau Jolo adalah milik Bernard Then Ted Fen, warga Malaysia yang dilaporkan dipenggal oleh kumpulan penculik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya perlu mendapat pengesahan saintifik berkaitan mayat itu walaupun telah memperoleh maklumat ia mungkin Ted Fen.

"Kita tidak dapat mengesahkan identiti mayat itu lagi. Kami perlukan bukti saintifik dan ia akan diketahui sebaik ujian DNA lengkap," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di sini, Khamis.

Khalid berkata, pihak polis tidak mahu membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian yang membawa kepada tindakan penculik memenggal kepala rakyat Malaysia itu.

Ted Feb, 39, jurutera dari Johor dipenggal selepas enam bulan dalam tawanan Abu Sayyaf selepas diculik pada 15 Mei lalu di Sandakan.

"Kita sedang berusaha mendapatkan DNA keluarga mangsa untuk dihantar ke Filipina, selain menunggu DNA mayat terbabit daripada negara berkenaan.

"Mayat terbabit kini ditempatkan di sebuah hospital di Indanan dan kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi mempercepatkan proses pengecaman mayat itu," katanya.

Sebelum ini, pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50 yang juga diculik pada hari sama dibebaskan pengganas di negara jiran itu. 



Khalid Abu Bakar, Then Ted Fen, Jolo

Artikel Lain