suria

DBKL Rugi RM40 Juta Setahun, Penghuni PPR Tidak Bayar Sewa

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) rugi hampir RM40 juta setahun berikutan separuh daripada penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak membayar sewa bulanan mereka.

Datuk Bandar, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata sekalipun sewa bulanan yang dikenakan hanyalah RM124 sebulan, separuh daripada 50,000 penyewa unit PPR itu gagal membayar sewa berkenaan.

"Saya tidak faham kenapa ia menjadi masalah kepada mereka sedangkan nilai sewaan yang kami kenakan begitu murah.

"Sedangkan mereka boleh bayar bil Astro, bayar kereta dan motosikal tetapi sewa rumah RM124 sebulan tidak dibayar," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet DBKL 2016, di sini Khamis.

Mhd Amin berkata dalam tempoh dua tahun ini pihaknya telah merampas kembali lebih 200 unit rumah dengan mengunci bekalan air, selain lima penyewa dibawa ke mahkamah.

"Mereka yang dibawa ke mahkamah itu adalah disebabkan hutang yang terlampau sehingga ada yang lebih daripada RM10,000," katanya.

Beliau berkata DBKL bagaimanapun tetap memperuntukan sebanyak RM153.09 juta dalam Bajet DBKL 2016 yang melibatkan kerja membaiki dan menyelenggara rumah PPR dan Perumahan Awam (PA) demi keselesaan penghuni.

Menurutnya ia melibatkan kerja awam, elektrik, mekanikal, pembaikan lif dan kontrak pembersihan.

"Kos penyelenggaraan ini semakin meningkat dari tahun ke tahun disebabkan kerosakan yang tidak dapat dielakkan serta kos alat dan peralatan ganti yang semakin tinggi, katanya.

Selain itu, DBKL juga telah memperuntukan sebanyak RM48.15 juta untuk pelaksanaan 28 projek tahun hadapan yang meliputi kerja penggantian dan naik taraf sistem bekalan air dalaman, naik taraf tangki FRP kepada tangki baharu jenis Pressteel, naik taraf sistem bumbung blok bangunan di PA dan PPR.

Mhd Amin berkata pihaknya juga dalam perancangan untuk membeli 350 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah daripada pemaju swasta untuk menampung pertambahan jumlah warga kota.

"Kami tahu dengan anggaran kepadatan penduduk seramai 7,120 orang per kilometer persegi, Kuala Lumpur memerlukan bilangan rumah yang mencukupi untuk menampung pertambahan penduduknya.

"Tetapi bantulah kami, bayarlah sewa agar kami boleh gunakan duit itu untuk membina lebih banyak rumah kos rendah," katanya.

DBKL memperuntukan sebanyak RM2.72 bilion dalam bajetnya bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus demi kesejahteraan kira-kira 1.7 juta warga kota. - BERNAMA

DBKL, kerugian, PPR

Artikel Lain