suria

Tiada Usul Untuk Singkir Najib Sebagai Presiden Umno

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Tiada usul akan dibangkitkan terhadap kepimpinan Presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu pada  Disember ini, naib presidennya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan.

Hishammuddin yang bertanggungjawab dalam sekretariat parti dari segi pengendalian usul  untuk perhimpunan itu berkata tiada usul seperti itu dikemukakan terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak oleh 191 Umno bahagian.

"Kami telah menerima pengesahan usul dari 132 bahagian yang menyokong kepimpinan parti.

"Saya boleh katakan bahawa tidak ada usul tidak percaya yang menggesa beliau (Najib) untuk meletak jawatan," katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen, Khamis.

Beliau berkata pengesahan usul daripada bahagian adalah tidak wajib.

"Tidak ada keperluan untuk mereka (bahagian) untuk tampil dengan usul sokongan tetapi mereka boleh berbuat demikian jika mereka mahu.

"Apa yang lebih penting adalah, sama ada terdapat bahagian yang mengemukakan usul tidak percaya dan tidak ada," katanya.

Ditanya jika ada isu-isu semasa yang sensitif yang mungkin akan dibangkitkan semasa perbahasan di perhimpunan itu, Hishammuddin berkata tiada sekatan ke atas perwakilan, sambil menambah: "Kita akan tengok".

Beliau juga mengumumkan bahawa konvensyen khas akan diadakan pada 24 Nov untuk membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dalam usul.

Selain daripada wakil-wakil Umno, konvensyen itu juga akan melibatkan penceramah daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk mencerminkan keterangkuman Umno dengan mengambil kira suara rakyat.

Kira-kira 600 peserta akan menghadiri konvensyen itu, yang akan meluluskan beberapa resolusi yang akan dibawa ke perhimpunan Umno.

Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, sejumlah 738 usul diterima daripada Umno bahagian di seluruh negara.

Daripada jumlah ini, beliau berkata 513 akan dibahaskan manakala 225 adalah kenyataan pengesahan yang akan diterima tanpa perbahasan.

Artikel Lain