261 Bayi Dilahirkan Di Sekolah Harapan Melaka Sejak 2010 - Semasa | mStar

261 Bayi Dilahirkan Di Sekolah Harapan Melaka Sejak 2010

MELAKA: Seramai 261 bayi telah dilahirkan di Sekolah Harapan sejak sekolah yang bertujuan memberi perlindungan kepada remaja terlanjur dan bayi mereka itu, ditubuhkan pada September 2010, persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu pada Khamis.

Exco Wanita, Keluarga, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata daripada jumlah itu, seramai 232 bayi telah diserahkan kepada keluarga asal, 28 bayi diserah kepada keluarga angkat dan seorang bayi meninggal dunia.

Beliau berkata sejak 2010 hingga kini, Sekolah Harapan yang terletak di Jasin dekat sini juga telah memberikan perlindungan kepada 275 remaja terlanjur yang terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, manakala bantuan berjumlah RM472,000 telah disalurkan kerajaan kepada sekolah itu.

"Bagaimana nasib bayi dan remaja ini sekiranya Sekolah Harapan ini tiada untuk memberi perlindungan kepada mereka, memberi perlindungan sebaiknya kepada jiwa ini itulah kejayaan sebenar sekolah ini," katanya menjawab soalan Datuk Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) di sini. 

Katanya Sekolah Harapan memberikan peluang kedua kepada remaja ini untuk meneruskan kehidupan mereka dengan memberikan pelbagai kemudahan seperti pelajaran dan kemahiran selain membentuk kembali diri remaja ini untuk kembali menjadi warga masyarakat yang produktif. 

Latipah berkata sokongan tidak terhenti selepas remaja terbabit melahirkan bayi mereka, sebaliknya Sekolah Harapan akan terus memantau keadaan remaja dan bayi terbabit antaranya dengan melakukan lawatan berkala. -- Bernama


Sekolah Harapan , Melaka , bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel