'Tiada Kepakaran' Halang Anggota IS Malaysia Lancar Serangan - Semasa | mStar

'Tiada Kepakaran' Halang Anggota IS Malaysia Lancar Serangan

Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay
ALOR SETAR: Ketiadaan kepakaran membuat bom dikenalpasti sebagai faktor utama menghalang rakyat Malaysia yang menggangotai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) daripada melancarkan serangan dalam negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay bagaimanapun berkata, anggota IS rakyat Malaysia memiliki ideologi dan komitmen yang mantap.

"Apa yang mengekang mereka, menyebabkan operasi mereka tersangkut-sangkut adalah kerana mereka tidak ada kepakaran untuk membuat bom. Bahan-bahan mudah dibeli di internet, tetapi kepakaran untuk 'assemble' bom itu tiada," katanya kepada pemberita Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi penerangan tentang kumpulan pengganas IS itu bersama kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Kedah di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah, di sini.

Ayub Khan berkata, semenjak 2013 hingga kini sebanyak 150 rakyat negara ini yang menganggotai IS telah ditangkap, termasuk 24 wanita.

Walaupun tiada kepakaran teknikal, namun anggota IS rakyat Malaysia itu akan melakukan serangan di Malaysia sekiranya memiliki peluang untuk berbuat demikian, katanya.

Bagi menangani ancaman terbabit, pihak berkuasa katanya, telah meningkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat strategik seperti bangunan-bangunan kerajaan dan bangunan berkepentingan negara asing.

Menurutnya, apa yang berlaku di Paris dua hari lepas yang menyaksikan kira-kira 130 orang terbunuh akibat serangan militan, bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan.

Ini kerana pemimpin IS dikenali dengan nama "Mohammad Al-Adnani" katanya, telah pun mengarahkan anggota militannya supaya tidak lagi pergi ke Syria dan Iraq untuk berjuang, tetapi melancarkan serangan di negara masing-masing.

Dalam menangani dan memerangi ancaman oleh kumpulan IS, Ayub Khan berkata, Polis bersandarkan kepada operasi-operasi pencegahan yang memerlukan kemampuannya untuk mendapatkan maklumat-maklumat perisikan.

"Kita tekankan pada pencegahan dan pengumpulan maklumat risikan. Kita buat tindakan awal, tangkap dan tuduh di mahkamah, kita tidak membiarkan mereka kumpul senjata api, bahan letupan, baru hendak tangkap," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain