suria

Sidang Kemuncak Asean: Kawalan Keselamatan Di Tahap Tertinggi - Khalid

KUALA LUMPUR: Beberapa negara ketika ini dalam keadaan siapsiaga susulan serangan pengganas di Paris dan pada masa sama Bukit Aman bertindak meningkatkan tahap kawalan keselamatan di peringkata tertinggi.

Hal ini kerana Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean minggu depan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dijadualkan hadir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua cawangan dan bahagian sudah meningkatkan pemantauan dan usaha untuk memastikan keselamatan negara terjamin.

Antara langkah yang diambil adalah meneliti semula perancangan keselamatan sepanjang persidangan yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

"Kami tidak akan mengabaikan aspek kawalan keselamatan," kata Khalid susulan adanya laporan risikan di mana pengganas Negara Islam (IS) itu menyasarkan negara di rantau ini.

Muka depan The Star pada Sabtu menyiarkan kenyataan pensyarah universiti yang terjebak dalam kegiatan militan, Dr Mahmud Ahmad mengenai adanya perancangan pengganas untuk membentuk cawangan di rantau Asia Tenggara.

Bersembunyi di Filipina, dia menjalankan peranan melatih pengebom berani mati yang akan melancarkan serangan di sekitar rantau ini termasuk Malaysia.

Khalid berkata, polis akan menggunakan segala kepakaran dan sumber yang ada untuk menghalang perancangan yang dikatakan Dr Mahmud.

"Kami bekerja rapat dengan rakan di negara jiran untuk menghalang perancangan pengganas itu menjadi kenyataan," katanya.

Ketua Cawangan Khas Anti Pengganas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Ayob Khan berkata, maklumat risikan digunakan untuk menghalang serangan itu.

Tambahnya, serangan di Paris dilihat konsisten dengan doktrin terbaharu IS di mana ia mengarahkan penyokongnya mewujudkan kekecolahan di negara asal mereka berbanding berjuang di Syria sebelum ini.

"Anggota IS di Malaysia cuba melakukan serangan sama dengan menyasarakan bangunan kerajaan dan pusat hiburan tetapi ia dapat dihalang," katanya.

Kata Ayob lagi, Dr Mahmud adalah antara pihak yang mendapat perhatian utama pihaknya kerana dia memiliki kepakaran dalam pembuatan bom.

Sejak Februari 2013, seramai 136 ditahan di negara ini kerana terbabit dalam kegiatan militan termasuk 15 anggota tentera.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain