suria

TKP Jakoa Didakwa Rasuah Lebih RM74,000

Nisra Nisran Angit didakwa membabitkan rasuah lebih RM74,000.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan rasuah berhubung projek di jabatan itu berjumlah lebih RM74,000, lima tahun lalu.

Nisra Nisran Angit, 40, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM34,600 daripada seorang ahli perniagaan iaitu Hamzah Sia melalui akaun bank pihak ketiga milik individu lain Yusoff Othman, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Cawangan Ampang Park, Lot 1.01, Ampang Park Shopping Centre, Jalan Ampang di sini pada 6 Julai 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga dia didakwa mendapat untuk dirinya wang yang kesemuanya berjumlah RM40,000 juga daripada Hamzah melalui akaun bank Yusoff, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Public Mutual Berhad, Blok B, Sri Damansara Business Park, Persiaran Industri, Bandar Sri Damansara, di sini pada 6 Disember 2010 dan 17 Disember 2010.

Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 Disember untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Aida Adha Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus.

-- Bernama
Jakoa, Orang Ali, Nisra Nisran Angit

Artikel Lain