suria

Banjir Lumpur Kali Kedua Di Lebuhraya Karak Mungkin Akan Berlaku

BENTONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan akan berlaku banjir lumpur kali kedua di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur sekiranya hujan turun dengan lebat petang Khamis.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Soiman Jahid berkata ini kerana menerusi tinjauan yang dilakukan jabatan itu menerusi udara mendapati masih terdapat takungan air di puncak bukit berhampiran lebuh raya berkenaan.

"Sekiranya berlaku hujan lebat petang ini, ia boleh menyebabkan aliran air berlaku sekaligus banjir lumpur berlaku sekali lagi dan akan membawa bersama batu-batu besar serta kayu balak yang terletak berhampiran.

"Sehubungan itu, kita sudah pun berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Anih Berhad, pemegang konsesi lebuh raya itu bagi mencari penyelesaian untuk melepaskan air takungan tersebut bagi mengelak kejadian serupa berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata hasil tinjauan juga mendapati terdapat aktiviti pembalakan di puncak bukit berhampiran kawasan kejadian, namun menafikannya sebagai punca kepada kejadian banjir lumpur di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pukul 6.30 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata laluan kedua-dua arah di lebuh raya terjejas itu hanya akan dibuka selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan oleh Anih Berhad.

"Penutupan jalan ini adalah untuk mengelakkan berlakunya insiden runtuhan kedua di lokasi yang sama sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"Dalam masa yang sama juga, waktu kita membuka kembali laluan juga bergantung kepada pengesahan daripada pakar cerun yang dibawa oleh Anih Berhad selain keadaan cuaca semasa," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diharapkan bersabar dan menggunakan jalan alternatif yang disediakan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan dahulu perancangan untuk ke Kuala Lumpur-Kuantan-Kuala Lumpur sehingga proses pembersihan jalan selesai sepenuhnya," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain