suria

Saman Fitnah Terhadap Shamsubahrin, Mahkamah Tetapkan Perbicaraan Bermula 28 Mac Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan selama tiga hari bermula 28 Mac depan bagi perbicaraan saman fitnah yang difailkan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh terhadap bekas perunding syarikat itu Shamsubahrin Ismail berhubung kenyataannya dalam laman sosial Facebook.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu dalam kamarnya di hadapan peguam Al Firdaus Shahrul Naing yang mewakili Mohamad Salleh dan J. Leela yang mewakili Shamsubahrin.

Pada 3 Julai lepas, Mohamad Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Shamsubahrin atas dakwaan memuat naik kenyataan berunsur fitnah mengenai dirinya dalam akaun Facebook milik Shamsubahrin.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Shamsubahrin telah memuat naik enam kenyataan berunsur fitnah membabitkan dirinya (Mohamad Salleh) dalam akaun Facebook atas nama Shamsubahrin Ismail Tom antara 19 Mei dan 23 Jun lepas, yang boleh diakses oleh orang ramai.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh, pada 18 Mei lepas, menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan terhadap Shamsubahrin atas dakwaan menipunya membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mohamad Salleh selaku plaintif berkata Shamsubahrin mendakwa dirinya dijadikan 'kambing hitam' dan disabitkan bersalah oleh mahkamah, sebagai satu cara untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia melindungi plaintif serta membolehkan Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes pecah amanah yang dihadapi plaintif.

Mohamad Salleh mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau bersekongkol dengan isterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mempengaruhi Hakim Rozilah dengan mensabitkan Shamsubahrin sebagai bersalah.

Selain itu, beliau mendakwa kata-kata fitnah itu turut membawa maksud beliau mempengaruhi pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA


Artikel Lain